Translate

Wednesday, 11 May 2016

TANJUNG BIDARA ATAU TANJUNG JARA?

   Malaysia mempunyai banyak pantai-pantai yang menarik seperti di Desaru, Kota Tinggi dan pantai Cherating di Terengganu yang mampu menggamit pelancong asing untuk berkunjung ke Malaysia. Namun, apakah keistimewaan pantai-pantai ini sebagai destinasi pelancongan?

Terdapat dua faktor utama; faktor iklim dan keadaan pantai itu sendiri.

   Corak iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun amat digemari oleh pelancong asing khasnya pelancong dari negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat yang gemar berjemur di bawah sinaran matahari yang terik. Keadaan pantai yang cantik dan bersih juga memungkinkan pelancong untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti skuba atau mandi manda. Walaupun begitu, kemudahan prasarana seperti tandas yang lengkap dan terjaga rapi turut memainkan peranan penting dalam memastikan keselesaan para pengunjung.

   Oleh yang demikian, kami sekeluarga seringkali menjadikan pantai Air Papan sebagai tempat percutian bagi melepaskan tekanan dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara kami. Malangnya, atas sebab keadaan pantai yang masih berlumpur dan jarak perjalanan yang memakan masa selama 4 jam, maka pilihan terbaik adalah di Tanjung Bidara di Melaka.

Jarak perjalanan yang hanya mengambil masa selama 2 jam atas tujuan menjimatkan petrol dan belanja. Sumber: Google Maps Tanjung Bidara Beach Resort.


   Sebelum saya bercerita lebih lanjut tentang percutian singkat ini, adalah lebih baik saya memberitahu sedikit sebanyak info tentang Tanjung Bidara. Pantai Tanjung Bidara terletak berdekatan Kem Terendak dan hanya 10 minit perjalanan dari bandar Masjid Tanah. Pesisir pantainya yang luas dan landai menghadap Selat Melaka menjadikan kawasan ini sebagai pantai perkelahan terkenal dalam kalangan pelancong. 


Sumber: Tanjung Bidara Banyak Tarikan, Utusan Online, 27 Mac 2012


   Terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang melingkupi tiga lokasi tumpuan pelancong (Pantai Tanjung Bidara, Pantai Pengkalan Balak, Pantai Padang Kemunting)  , pantai ini turut dilengkapi dengan kemudahan awam seperti tempat letak kereta, padang permainan kanak-kanak surau, medan selera, tandas awam dan bilik mandi untuk para pengunjung. Tidak kurang 15 resort dan calet termasuk penginapan persendirian yang diusahakan penduduk tempatan di sepanjang pantai tersebut.


Sumber: http://salamborneo.blogspot.my/2013/11/tanjung-bidara-indahnya.html


Kelihatan sampan yang digunakan nelayan tersadai di tepi pantai. Sumber: kamera CANON.

Keadaan pantai yang lengang. Kami datang pada hari Jumaat (cuti hujung minggu Johor). Sumber: Kamera CANON

Pesisiran pantai yang ditambak dengan batu besar bagi menghalang hakisan ombak. Sumber: kamera CANON.

Beramah mesra bersama pasangan suami isteri yang asyik mengorek remis bagi makan malam. Sumber: kamera CANON.

Hasil remis yang akan dijadikan lauk makan malam. Sumber: kamera CANON.

Aktiviti sampingan di pantai yang lengang: melukis karikatur kegemaran. Sumber: kamera CANON.

Kelihatan anak-anak muda sedang bermain bola tampar di tepi pantai. Sumber: kamera CANON.

   
   Kami bertolak selepas solat Jumaat dan tiba pada waktu Asar. Memandangkan cuti hujung minggu Melaka adalah pada esok hari, sekeliling pantai agak lengang daripada penduduk setempat. Walaupun begitu, keadaan pantai yang bersih sangat sesuai dalam melepaskan tekanan dan menjadikan fikiran tenang dan aman. Akhirnya, selepas 3 jam menghabiskan masa di tepi pantai, kami pun bertolak pulang ke rumah.


Menikmati pemandangan senja. Sumber: kamera CANON.


Akhir kalam, renung-renungkan dan selamat beramal.





Sumber:


  1. Tanjung Bidara Banyak Tarikan, Utusan Online, 27 Mac 2012, http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.html, Gaie Uchel
  1. Gambaran Alam Sekitar Berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah, http://www.academia.edu/3788952/Hospitaliti_dan_Pelancongan



Tuesday, 10 May 2016

ISLAM DAN PELANCONGAN

Sumber gambar: kehidupan-insan.blogspot.com

   Dalam Islam, pelancongan atau jaulah secara umumnya bererti musafir yang melakukan perjalanan jauh ke sesuatu tempat dengan niat dan tujuan yang baik. Pelancongan juga boleh membawa maksud:
  1. Ziarah atau lawatan ke sesuatu tempat.
  2. Rehlah iaitu keluar dari tempat tinggal menuju ke tempat lain atas tujuan tertentu.
  3. Siyahah atau pengembaraan.

Pada masa yang sama, pelancongan tidak seharusnya bertujuan untuk berhibur semata-mata tetapi wajib mempunyai matlamat yang bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Antaranya ialah:
  1. Meningkatkan iman melalui pemerhatian alam serta keajaiban penciptaannya.
  2. Mengabdikan diri kepada Allah seperti menunaikan haji, ziarah, berjihad dan berdakwah.
  3. Mengambil iktibar dan pengajaran.
  4. Mencari ilmu dan pengetahuan.
  5. Mengertkan silaturrahim.

  Oleh yang demikian, Islam telah memberi rukhsah atau kelonggaran dalam kewajipan puasa dan solat agar musafir dapat melakukan perjalanan jauh  perjalanan jauh dengan selesa dan tidak lalai dengan tanggungjawab sebagai hamba. Orang yang bermusafir dibolehkan menjamak (menggabungkan waktu solat) solat Zuhur dengan Asar serta Maghrib dengan Isyak sekaligus mengqasar solat dengan memendekkan jumlah rakaat solat Zuhur, Asar dan Isyak yang masing-masing berjumlah empat rakaat menjadi dua rakaat. Sementara itu, musafir diberi keringanan untuk berbuka puasa apabila melakukan perjalanan dalam bulan Ramadhan tetapi wajib menggantikan puasanya sebanyak yang ditinggalkannya di luar bulan tersebut.

 
   Secara ringkasnya, Islam menggalakkan penganutnya melancong asalkan perjalanan tersebut menepati etika yang ditetapkan bagi memastikan pelancongan tersebut mendapat keredhaan Allah SWT.


  1. Etika dengan Allah

A. Setiap aktiviti pelancongan mestilah berpaksikan kepada Allah SWT dan tidak bertentangan dengan hukum syarak.

B.Memanfaatkan sumber yang ada dengan menggunakan akal dan anggota badan dengan cara yang terbaik sebagai tanda syukur keatas segala nikmat yang diberi.

C. Menunaikan ibadah-ibadah khusus dan umum.


     2. Etika dengan Manusia

A. Menjaga aurat dan batas pergaulan sesama insan.

B. Menjaga dan menggunakan bahasa pertuturan yang baik bersesuaian dengan masyarakat yang dilawati

C. Menghormati budaya, adat resam dan kepercayaan masyarakat setempat.


     3. Etika dengan Alam

A. Menjaga kebersihan dan keindahan alam.
B. Tidak berlaku zalim sesama makhluk ciptaan Allah seperti menebang pokok tanpa sebab.



   Akhirnya, penciptaan alam merupakan lambang kebesaran Allah SWT di samping sebagai amanah untuk diurus dan dipelihara mengikut syariat. Oleh sebab itu, manusia haruslah memakmurkan sumber alam dengan berhemah dan beretika.






Sumber:
  1. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20120918/ba_02/Kelebihan-bermusafir
  2. http://www.academia.edu/3788952/Hospitaliti_dan_Pelancongan